30 July 2012 ~ 0 Comments

Srikandi Islam – Maryam Dihina Selama Besarkan Nabi Isa AS (Bah. 2)

Kehebatan Srikandi Islam ini terus diperhebat oleh Allah SWT.  Si perawan bertakwa yang diberikan Allah SWT kedudukan yang tertinggi antara sekalian para ibu di alam ini.

Allah telah memberikannya satu kalimah daripadaNya iaitu Al-Masih Isa Bin Maryam.  Buat pertama kalinya di dalam sejarah kenabian, seorang nabi dibinkan ke atas nama ibunya.  Itu adalah satu darjat yang belum pernah dicapai oleh seorang wanita di kewujudan ini.  Itulah kemuncak ketinggian, keutamaan dan kesucian dalam alam seorang ibu.

Maryam redha dengan pemberian Allah SWT ke atas diri apabila di dalam perutnya ada janin yang bakal dia lahirkan tidak lama lagi.  Dia lalu melarikan diri ke satu tempat.  Sehinggalah dia melahirkan anaknya, kemudian barulah dia kembali kepada kaumnya dan berdepan tuduhan dan caci-maki dari orang ramai.  Dia tetap mengangkat kepalanya, cuba bertahan dan bersabar terhadap takdir dan ketentuan Allah Taala ke atas dirinya.

 Kecekalan dan ketabahan Maryam mendidik dan membesarkan Isa dengan penuh caci maki selama 30 tahun berturut-turut.  Selama itu jugalah dia menjaga setiap urusan anaknya itu dan menjauhkan dirinya daripada kaumnya kerana tidak mahu terus anak itu dicaci dan dimaki oleh masyarakat sekelilingnya.  Selepas itu, Maryam dan Isa pergi ke Jerusalem untuk beribadat di situ menurut syariat Nabi Musa AS.

 Lindungi Anak

Saat Maryam mendaki sebuah gunung bersama anaknya, ketika itulah Isa merasai sesuatu menjelma ke dalam diri dan menerusi pemandangan itu dia dapat rasakan bahawa dirinya adalah seorang nabi yang diutus kepada kaum Bani Israel.  Lalu dia mendatangi ibunya dan memberitahu akan peristiwa yang baru dirasakan.  Lalu Maryam menjawab, bahawa dia telah lama mengetahui akan hal itu sebelum Isa dilahirkan lagi.  Untuk itu, Isa perlu berpisah dengan ibunya dan pergi menunaikan utusan agamanya itu iaitu ISLAM.

Saat itulah Maryam mula mengimbau kembali zaman keperitannya membesarkan Isa.  Ketika kecilnya lagi, Maryam sudah mendedahkan Isa dan belajar membaca kitab-kitab para nabi.  Isa telah dibiasakan dengan bacaan wahyu sehingga dia petah mengucapkannya dan tiada terdengar dari ucapannya melainkan kandungan dari kitab-kitab suci itu.

Melalui kisah ini Maryam itu diumpamakan sebagai tanah yang suci, yang telah menumbuhkan seorang nabi yang soleh.  Maryam telah melahirkan dan telah menanggung pelbagai fitnah dan caci maki ke atas dirinya dek kerana kelahiran Isa.  Kemudian dia lari ke Mesir dan tinggal di sana selama 12 tahun untuk melindungi anaknya itu.

Sepanjang masa itu juga, dia bekerja menenun kain untuk menyara kehidupan mereka dua beranak, bekerja di sawah menuai hasil tanaman, dan dalam masa yang sama terus-menerus menggendong anak di bahunya, manakala bakul yang diisikan bijian yang dituai itu dikepit oleh bahu yang lain pula.

Dan kejadian ini adalah janji Allah SWT mengenai kebesarannya.  Dia telah memberikan hikmat kejadian yang terbesar dengan lahirnya Isa bin Maryam dan di dalam surah Al-Anbiya telah membuktikan segala-galanya apabila adanya firman, “Kami jadikan dia (Maryam) dan anaknya sebagai bukti kepada semesta alam.

Semoga kisah ini menjadi panduan dan pedoman dalam hidup anda!  Maryam, Srikandi Islam yang terulung dan tiada tandingannya!

Leave a Reply

Protected by WP Anti Spam