16 July 2012 ~ 0 Comments

Apa Yang Perlu Dibualkan Sesama Suami Isteri?

Kadang kala kita buntu untuk memikirkan apa yang perlu dibualkan sesama suami isteri. Sebenarnya, bahan perbualan anda berdua tak lain tak bukan adalah tentang diri anda, diri suami, hubungan anda berdua dan perkahwinan anda.  Berikut adalah perkara-perkara yang perlu anda berdua bualkan:-

Kebahagiaan Bersama

Bunyinya seperti melankolik tapi inilah yang perlu dilakukan, apa saja yang membuatkan anda dan pasangan bahagia dalam melayari rumahtangga.  Elakkan perbualan menjurus kepada sikap protes terhadap pasangan.  Anda sudah pasti tidak mahu masa bersama diakhiri dengan pertengkaran bukan?

Sekali sekala imbaslah kenangan manis sewaktu anda bersama ketika bercinta.  Pengalaman-pengalaman lalu yang membahagiakan ini sudah tentu mencetuskan rasa cinta dan kasih pada pasangan.

Komitmen Suami Isteri

Anda boleh juga membicarakan perkara yang lebih serius iaitu permasalahan yang mungkin dihadapi oleh anda suami isteri.  Mungkin tentang komitmen masing-masing terhadap anak-anak, pembahagian urusan rumahtangga yang dirasakan tidak adil dan sebagainya.

Waktu beginilah topik ini paling sesuai dibicarakan, bukan pda waktu anda sekeluarga sedang makan atau pasangan sedang ralit menonton televisyen.  Sudah tentu ia tidak akan mendapat sambutan.

Perkara Lucu Dan Lawak

Humor memang akan menceriakan keadaan apatah lagi ketika suami sedang memandu di jalan yang sesak.  Ceritakan kisah lucu anda dan usaha untuk pasangan ketawa.  Jadikan masa bersama pasangan tidak terlalu serius.

Perkembangan Diri Dan Pasangan

Dek kerana kesibukan, ramai yang tidak sempat mengambil tahu perkembangan pasangan sendiri.  Malah ada yang tidak tahu pasangan sudah bertukar jabatan di tempat kerja, punya bos baru dan sebagainya. Inilah yang harus anda kongsi bersama pasangan.  Selain itu, jangan lupa ceritakan apa saja perkembangan tentang anak-anak.

Semoga tip-tip di atas dapat menyemarakkan lagi hubungan anda suami isteri!

Leave a Reply

Protected by WP Anti Spam